Kesedaran diri amat penting untuk memastikan individu mampu menjauhi najis dadah. Kesedaran diri penting untuk membentuk minda yang positif agar dapat sentiasa membuat sesuatu dengan pemikiran yang rasional. Mereka hendaklah sentiasa diberikan ingatan tentang betapa pentingnya masa hadapan mereka. Remaja kini terlalu terdedah dengan pergaulan sosial yang tidak sihat yang berpotensi menjerumuskan mereka ke dalam kancah penyalahgunaan dadah ini. Mereka perlu tahu membezakan yang baik dengan yang buruk. Tidak perlu mengikut telunjuk kawan kerana 'ikut hati mati ikut rasa binasa'. Rakan yang berkualiti juga adalah tunggak dalam membantu diri remaja menjadi berkualiti juga.
Keluarga
Ibu bapa memainkan peranan yang cukup penting untuk memastikan anak-anak tidak terjebak dalam masalah penyalahgunaan dadah. Mereka perlu meluangkan masa yang secukupnya untuk bersama anak-anak. Sikap ambil berat dan bertanggungjawab serta penyayang mampu mengelakkan remaja dari terjerumus ke dalam masalah penyalahgunaan dadah. Ibu bapa perlu menyediakan segala keperluan dan pendidikan baik yang formal mahupun yang tidak formal dalam usaha membendung anak-anak mereka dari terjebak ke perangkap penyalahgunaan dadah.
Pendidikan
Pendidikan pencegahan penyalahgunaan dadah di sekolah merupakan langkah awal untuk membendung penyalahgunaan dadah dalam kalangan remaja. Pendidikan pencegahan pada bertujuan untuk mendidik di samping memberikan maklumat untuk menyedarkan remaja mengenai bahayanya penyalahgunaan dadah sebelum ianya terlambat. Pihak sekolah memainkan peranan untuk mendidik dan mencegah anak murid melibatkan diri dalam aktiviti penagihan dadah. Antara program yang boleh dilaksanakan ialah Program Intelek Asuhan Rohani (PINTAR). Program ini diatur untuk memberikan kesedaran kepada pelajar mengenai risiko penyalahgunaan dadah dan secara tidak langsung mendidik mereka untuk menjauhi najis dadah.
Kerajaan Dan Swasta
Pihak kerajaan dan pihak swasta juga memainkan peranan dalam usaha mengurangkan penyalahgunaan dadah. Antaranya ialah melalui program Rakan Muda, kem motivasi dan lain-lain program yang meliputi pelbagai aktiviti. Kem-kem ini dapat memenuhi masa lapang remaja dengan aktiviti lebih berfaedah. Pihak kerajaan juga boleh mengadakan kempen anti-dadah dan menyiarkannya melalui media massa. Undang-undang dan hukuman bagi kesalahan penyalahgunaan dadah dan mengedar dadah juga harus diketatkan lagi bagi mengelakkan mangsa berpeluang untuk melibatkan diri dalam kegiatan tersebut lagi. Agensi yang ditubuhkan seperti Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK) perlu memperkemaskan jentera mereka dengan memantau bekas penagih agar mereka tidak kembali menagih dadah lagi.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan